Al-Imam Nawawi r.a.telah berkata: Ketahuilah! Sesungguhnya mengumpat diharuskan kerana tujuan yang benar dan menurut syariat. Terdapat enam sebab dibenarkan mengumpat: (Rujuk kitab Riyadus Solihin, cetakan Dar al-Taybah, Makkah dan al-Maktabah al-Islamiah, Jordan, 1412 H, muka surat 396-397).
1. Pengaduan penganiayaan : Harus bagi orang yang dizalimi untuk mengadukan kezaliman yang dikenakan keatasnya kepada Sultan atau hakim atau pihak berkuasa yang lain untuk menyekat kezaliman tadi. Contohnya dia berkata: Si fulan ini telah menzalimiku dengan begini-begini.
2. Meminta pertolongan untuk mencegah kemungkaran dan menarik si pelaku maksiat kepada kebenaran : Harus bagi seseorang menceritakan keburukan seseorang kepada orang yang mampu untuk mencegah kemungkaran itu dengan katanya sebagai contoh : Si fulan itu telah buat sekian-sekian, maka kamu laranglah dia. Tujuannya menceritakan keburukan itu adalah untuk menghilangkan kemungkaran itu. Tetapi jika tujuannya bukan untuk itu (iaitu bukan untuk mencegah kemungkaran) maka ia adalah haram.
3. Meminta Fatwa atau cara penyelesaian: Harus baginya berkata bagi orang yang ditanyainya itu (sebagai contoh): Ayahku atau abangku atau suamiku atau si fulan telah menzalimiku dengan begini-begini. Adakah haknya untuk berbuat demikian? Dan apakah caranya untuk aku selesaikan masalah ini, atau apakah caranya untuk aku dapatkan hak aku, atau apakah caranya untuk aku sekat kezaliman ini atau sebagainya? Semua ini adalah harus kerana keperluan. Tetapi yang lebih baik ialah dengan berkata: Apakah pendapatmu tentang seorang lelaki atau seseorang atau suami (tanpa menyebutkan nama dan menentukan sesiapa) yang berbuat begini-begini? Ini kerana tujuannya untuk bertanya tadi telahpun terhasil sekalipun tidak dinyatakan seseorang yang tertentu. Walau bagaimanapun menyatakan dengan jelas tentang seseorang yang dimaksudkan itu adalah harus hukumnya.
4. Mengingatkan muslim yang lain daripada kejahatan atau memberi nasihat: Terdapat beberapa situasi. Antaranya ialah menyatakan kecacatan dan kecelaan yang terdapat pada perawi-perawi hadis atau para saksi. Maka perkara ini adalah harus dengan ijmak kaum muslimin bahkan menjadi wajib jika perlu. Antaranya juga ialah apabila diminta pandangan untuk berbesan (mencari menantu dan pasangan hidup), bersyarikat, memberikan amanah barang-barang, bergaul, berjiran atau sebagainya, maka wajib bagi orang yang diminta pandangan itu (memberitahu segalanya dan) tidak menyembunyikan hal keadaannya yang sebenar, bahkan dia perlu memberitahu keburukan-keburukan yang ada pada orang itu dengan niat nasihat. Begitu juga apabila seseorang itu melihat orang yang ingin menuntut ilmu (agar faham agama), tetapi telah merujuk atau menuntut ilmu kepada orang yang salah seperti orang yang melakukan bid’ah atau orang fasik, maka hendaklah dinasihati penuntut ilmu tersebut tentang keburukan gurunya itu agar ia terselamat daripada kemudharatan. Akan tetapi, hal ini banyak yang disalah gunakan. Ini kerana ada yang memberitahu kepada orang lain kerana kedengkiannya dan syaitan pula telah menipu dan memesongkannya seolah-olah itu adalah nasihat. Maka hendaklah berhati-hati dengan perkara ini.
Dan termasuk dalam bab ini juga ialah seseorang pemimpin yang tidak memimpin dengan baik, samada kerana dia tidak layak atau kerana dia adalah seorang yang fasiq atau seorang yang cuai atau sebagainya. Maka wajib diberitahukan kepada orang atasannya untuk memecatnya dan menggantikannya dengan orang yang lebih sesuai atau supaya orang atasan itu mengetahui keadaannya dan memberikan tindakan yang sewajarnya dan tidak tertipu dengan tindak tanduknya. Juga supaya dia (orang atasan) memberikan dorongan kepada pemimpin itu supaya lebih istiqamah atau akan ditukar (digantikan dengan orang lain).
5. Jika dia seorang yang jelas menunjukkan kefasiqannya atau bid’ahnya: Contohnya orang yang menunjuk-nunjuk bahawa dia meminum arak atau orang yang terang-terang merampas harta orang ramai, memungut cukai (duit pau dan sebagainya), mengenakan cukai secara zalim atau mengetuai dalam perkara-perkara kejahatan. Maka harus disebutkan kejahatan-kejahatan yang dilakukannya secara terang-terangan itu. Tetapi haram menyebut lain-lain keaiban yang ada padanya melainkan jika ia juga diharuskan dengan sebab-sebab lain yang telah disebutkan sebelum ini.
6. Untuk dikenali: Apabila seseorang yang sudah masyhur dengan gelaran seperti seseorang yang matanya berair atau kabur, atau yang tempang, yang tuli, yang buta, yang juling atau sebagainya, maka harus disebutkan pengenalan mereka tadi. Tetapi haram jika disebutnya dengan niat untuk mencelanya. Dan jika boleh mengenalkan mereka dengan cara atau pengenalan lain yang lebih elok, maka itulah yang lebih baik.
Keenam-enam sebab (yang diharuskan mengumpat ini) telah disebutkan oleh para ulama’ dan kebanyakannya ulama’ telah berijma’ mengenainya, dan dalilnya adalah berdasarkan hadis-hadis yang sahih dan masyhur...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan