TRIBUTE TO TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

ADAB2 MEMBERI NASIHAT


1. Meluruskan niat sebelum menasihati seseorang supaya tidak ada yang berasa disakiti. Ikhlas menasihati saudara semuslim semata-mata karena Allah. Seharusnya seorang yang ingin memberikan nasihat itu perlulah bersih dari segala bentuk niat yang terpesong kerana ia akan memberi kesan ke atas nasihat yang ingin diberikan. Janganlah menasihati seseorang itu kerana ingin menunjukkan kitalah orang yang benar, tetapi tegurlah kerana ingin mengajak sahabat ke jalan yang benar.

2. Menjaga ukhuwah semasa menasihati. Diusahakan supaya menasihati saudaranya dengan tidak diketahui orang lain. Sebahagian ulama berkata, “Barangsiapa yang menasihati seseorang dan hanya ada mereka berdua, maka itulah nasihat yang sebenarnya. Barangsiapa yang menasihati saudaranya di depan banyak orang, maka yang demikian itu mencela dan mencelakan orang yang dinasihati.” Islam mengajar umatnya supaya mempunyai akhlak yang tinggi. Dalam hal menasihati juga terdapat perkara ini. Ini menunjukkan bahawa Islam amat menjaga hati dan maruah orang yang dinasihati supaya tidak berlaku perpecahan kerana perkara nasihat.

3. Bersih hati semasa menasihati. Menggunakan bahasa yang halus dan menegur hanya untuk perkara-perkara yang salah. Kadang-kadang kita sering menggunakan perkataan yang sangat teruk untuk meluahkan nasihat kita. Dalam ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah yang berbentuk menasihati, kita lebih gemar menyatakan salah orang lain seolah-olah mereka yang melakukan perkara tersebut sangat jahat dan sudah tiada ruang untuk bertaubat. Seharusnya selaku seorang pendakwah, nasihat adalah senjata utama yang perlu digunakan sebaiknya.

4. Memikirkan cara yang terbaik untuk menasihati saudara. Seboleh-bolehnya mengenali dulu saudara yang bakal kita nasihati itu. Nasihatilah mereka dengan kasih sayang dan jadilah sebahagian dari mereka, kerana dari situ kita akan tahu apa puncanya mereka begitu.

5. Memberi waktu dan kesempatan kepada saudara yang dinasihati untuk mengubah sifat buruk/ kesalahan yang dilakukannya. Manusia perlukan masa untuk berubah, jangan memaksa mereka untuk berubah mendadak, ia bukan dalam lingkungan tugas seorang pendakwah. Dalam berdakwah perlu akan sifat sabar dan berserah kepada Allah. Jadilah orang yang sentiasa mengharap pertolongan Allah dan jangan mudah putus asa di atas nasihat yang diberikan kerana itu mungkin ujian yang telah ditentukan oleh Allah untuk menguji kesabaran.

WASIAT TENTANG 5 PERKARA


1. Jauhi perkara haram nescaya engkau akan menjadi manusia yang hebat dalam ibadah.

2. Berpuas hati dengan pemberian Allah nescaya engkau akan menjadi manusia yang paling kaya hatinya.

3. Berbuat baiklah dengan jiran tetangga nescaya kamu akan menjadi mukmin yang sejati.

4. Sayangilah manusia lain seperti menyayangi diri sendiri nescaya engkau akan menjadi muslim yang sebenar.

5. Janganlah engkau banyak ketawa kerana banyak ketawa akan mematikan hati.

10 PESANAN JADI ISTERI SOLEHAH


1. Sentiasa menjadi pendamping suami, menerima segala kekurangan dan tidak membebankan suami. 

2. Mendengar dan mentaati suami. 

3. Memberi layanan baik kepada suami, pelihara anak dan menjaga rumah tangga. 

4. Sentiasa tampil menarik dan wangi untuk suami. 

5. Mampu mewujudkan hubungan intim yang baik dengan suami. 

6. Menjaga makan minum suami yang betul, tepat serta waktu tidur bagi elak emosi suami terganggu. 

7. Sentiasa menjaga kebersihan diri dan tempat tinggal. 

8. Amanah menjaga harta benda dalam rumah tangga. 

9. Isteri tidak boleh membuka aib suami dan hal rumah tangga kepada orang lain. 

10. Isteri kena jadi orang yang paling mengagungkan suami.

4 SOALAN BOCOR DI ALAM KUBUR


1. Kehidupan di dunia adalah tempoh ujian daripada Allah swt. Apabila tiba waktunya, kematian menjelma tanpa diperlewatkan atau dipercepatkan walaupun sesaat. Persoalan berkenaan usia yang dianugerahkan olehNya akan ditanya kepada setiap insan lantas masing-masing menjawab dengan jawapan yang berbeza, berdasarkan cara tersendiri tentang bagaimana memenuhi tempoh tersebut. Ada yang pendek usianya, tetapi menjadi sangat bernilai kerana diisi dengan penuh ubudiyyah ( penghambaan) kepada Allah swt. Ada pula yang panjang umurnya, tetapi menjadi sebab penyesalan yang tidak berkesudahan kerana ia dipenuhi dengan penghambaan kepada hawa nafsu semata-mata. Golongan yang paling bergembira adalah di kalangan yang panjang usianya dan dihiasi dengan ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada Yang Maha Esa. Moga kita mampu menjawab pada saat itu dengan jawapan yang tidak menghampakan.

2. Soalan kedua amat menggetarkan hati khususnya golongan yang berilmu. Apakah yang telah diamalkan daripada ilmu yang dimiliki ? Peringatan yang amat menggerunkan di dalam firman Allah:
“Amat besarlah kemurkaan Allah apabila kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu amalkan” ( surah Soff, ayat 3 )
Buah kepada ilmu dan tanda ia bermanfaat kepada seseorang ialah apabila diamalkan. Para orientalis mempunyai ilmu yang banyak tentang Islam, tetapi ia tidak akan menyelamatkan mereka di akhirat kerana ia tidak diamalkan. Begitu juga para ulama’ al-suu’ (ulama’ yang jahat) yang sentiasa menggunakan agama untuk mengejar dunia dengan memutarbelitkan hukum hakam agama demi mencari redha ‘tuhan-tuhan’ yang bukan Tuhan. Demikianlah iblis yang mempunyai ilmu paling hebat berkenaan syurga, kerana pernah menghuni dan merasai nikmat di dalamnya, tetapi tidak membawa kepada amal yang membuktikan ketaatan kepada Allah. Ada pula yang ingin mengambil jalan mudah dengan tidak berusaha menambah ilmu, agar tidak dibebankan dengan soalan ini, tetapi pada hakikatnya mendedahkan diri kepada bahaya yang lebih besar iaitu sesat dalam kegelapan jahiliah. Ya Allah, berilah kekuatan kepada kami agar sentiasa berusaha menambahkan ilmu agama dan anugerahkan kami kemampuan untuk mengamalkannya dengan penuh ikhlas dan istiqamah.

3. Soalan ketiga berkenaan harta. Ia mempunyai dua anak soalan, iaitu bagaimana cara memperolehi dan bagaimana cara membelanjakannya. Realiti dunia hari ini yang dikuasai kapitalis melahirkan segolongan manusia yang tidak mempedulikan halal dan haram di dalam mengumpul harta. Matlamatnya hanyalah wang, setiap tindak tanduk diputuskan berdasarkan keuntungan wang, segala pengorbanan adalah demi wang, bahkan hidup matinya seolah-olah menghambakan diri kepada wang. Golongan ini lupa untuk merealisasikan makna doa iftitah yang dibaca pada setiap rakaat pertama solatnya. Sepatutnya segala-segala yang dilakukan adalah demi Allah, Tuhan sekalian alam. Lantas suburlah budaya rasuah, pecah amanah, menipu dalam perniagaan, lari dari hutang, mencuri, merompak dan sebagainya. Alangkah ngerinya keadaan golongan ini apabila berada di dalam mahkamah Allah di akhirat kelak, apakah yang bakal dijawab oleh mereka? Soalan susulan seterusnya ialah cara membelanjakan harta yang dimiliki. Ada yang begitu cermat memastikan hartanya benar-benar dari sumber yang bersih dan halal, tetapi lalai ketika membelanjakannya. Tanpa disedari, ia membeli perkara-perkara yang menjadi senjata musuh untuk merosakkan zuriatnya sendiri lalu menempatkannya di dalam rumah yang mereka diami. Ada kalanya, menggunakan harta yang halal, tetapi membawa ahli keluarganya ke tempat yang melalaikan mereka dari mengingati Allah. Semua ini bakal ditanya, persiapkanlah jawapannya !

4. Soalan terakhir berdasarkan hadis ini adalah berkenaan tubuh badan dan kesihatan yang dianugerahkan oleh Allah. Ramai yang tidak menghargai kesihatan ketika mereka sihat bahkan jarang memuji Allah di atas nikmat ini. Tetapi apabila jatuh sakit, secara tiba-tiba mereka menjadi orang yang sentiasa menyebut Allah dan berazam untuk melalukan ketaatan setelah sembuh. Demikianlah sakit, satu anugerah yang sangat baik dari Allah, tanda kasihNya kepada hambaNya. Justeru, hargailah nikmat tubuh badan ini dengan menggunakannya semaksima mungkin untuk melakukan pelaburan yang profitnya akan digunakan untuk ‘shopping’ di akhirat nanti.

Tangan Dan Kaki Bercakap

Di dalam surah Yaasin, Allah menceritakan suasana di akhirat nanti di dalam firmanNya yang bermaksud:

“Pada hari ini Kami tutup mulut-mulut mereka, dan tangan-tangan mereka akan bercakap (mengakui segala amalan yang dilakukan di dunia) serta kaki-kaki menjadi saksi di atas apa yang telah mereka lakukan” ( Surah Yaasin, ayat 65 )
Ketika itu, mulut yang sangat petah berkata-kata tidak mampu memberi alasan dan melepaskan diri lagi sebagaimana di dunia dahulu. Mulut terkunci rapat dan tugas menjawab dipindahkan kepada seluruh anggota badan lain lalu mengakui satu persatu amal baik dan buruk ketika di dunia dahulu tanpa tertinggal sedikitpun, sehingga akhirnya menempatkan mereka ke destinasi terakhir sama ada di syurga mahupun neraka.

7 PERKARA YANG WAJIB KITA INGATI


1. Saya dipesan supaya suka kepada orang-orang miskin dan mendekati mereka.

2. Saya dipesan supaya selalu melihat kepada orang-orang yang dibawahku dan tidak melihat pada orang-orang yang diatasku.

3. Saya dipesan supaya tetap menghubungi kaum kerabat meskipun mereka jauh dan memutuskan hubungan.

4. Saya dipesan supaya memperbanyakkan membaca: Laa haula walaa quwwata illa billahi, kerana itu sebagai perbendaharaan kebaikan atau tabungannya.

5. Saya dipesan supaya jangan minta apapun dari sesama manusia.

6. Saya dipesan supaya jangan takut didalam melaksanakan hukum Allah s.w.t. dari cela (ejekan) orang-orang yang mengejek.

7. Saya dipesan supaya selalu berkata benar meskipun pahit dan berat.

22 TANDA HARI KIAMAT SEMAKIN HAMPIR


1. Sembahyang diabaikan (diringan-ringankan).

2. Keinginan nafsu syahwat digalakkan dan berleluasa disebarkan melalui iklan, buku, gambar, risalah atau filem.

3. Penjenayah menjadi pemimpin dan kebanyakannya jahil mengenai agama dan banyak memberi fatwa yang menyesatkan pengikutnya.

4. Perkara benar menjadi salah dan salah menjadi benar. Sukar untuk membezakan perkara halal dan haram kerana yang haram dianggap halal serta sebaliknya.

5. Berbohong menjadi satu keperluan dalam hidup dan menganggap jika tidak berbohong sukar untuk hidup senang.

6. Membayar zakat (harta, perniagaan dan pendapatan) dianggap beban.

7. Orang yang hidup mengikut kehendak agama ditindas dan hati mereka sentiasa merintih kerana maksiat berleluasa tetapi mereka tidak mampu mencegahnya.

8. Turun hujan di luar musimnya dan hujan tidak memberi keuntungan kepada makhluk di muka bumi.

9. Fenomena lelaki berkahwin dengan lelaki (homoseksual) dan perempuan berkeinginan kepada perempuan (lesbian) semakin menjadi-jadi.

10. Perempuan menguasai lelaki dengan memakai ubat guna-guna, sihir dan amalan syaitan lain.

11. Anak-anak mengingkari dan menderhaka ibu bapa (ibu bapa menjadi kuli dan anak menjadi tuan).

12. Kawan baik dilayan dengan kasar, manakala musuh diberi layanan baik. Kawan disangka lawan dan musuh dianggap sahabat serta memusuhi orang yang mengajak berbuat kebaikan.

13. Dosa dipandang ringan malah bangga melakukannya seperti zina, minum arak, bergaul bebas antara lelaki dan perempuan, meninggalkan sembahyang, mendedahkan aurat dan berjudi.

14. Masjid dihias indah tetapi kosong, terpulau, berkunci dan banyak berlaku kecurian barang masjid yang berharga.

15. Ramai yang sembahyang tetapi munafik dan berpura-pura. Di dalam sembahyang berjanji akan mengikut suruhan Allah tetapi di luar sembahyang melanggar perintahNya,

16. Akan datang golongan manusia dari Barat menguasai mereka yang lemah (iman) dan ramai terpengaruh dengannya seperti mengikut cara mereka berpakaian, bergaul dan suka berpesta.

17. Al-Quran dicetak dengan indah tetapi hanya dijadikan perhiasan dan jarang dibaca serta diamalkan kehendaknya.

18. Amalan riba berleluasa hingga orang alim pun terjebak sama.

19. Darah manusia tidak berharga, sering berlaku pembunuhan, peperangan dan jenayah.

20. Penganut Islam tidak mahu mengamalkan suruhan agama dan tidak mahu membela serta menyebarkannya.

21. Akan bertambah banyak penyanyi wanita (wanita yang tidak beriman adalah senjata syaitan yang baik).

22. Ramai orang kaya pergi umrah dan haji dengan tujuan melancong, yang sederhana pergi untuk berniaga dan yang miskin bermaksud meminta sedekah.