1. Dia lahir di dalam keluarga yang beragama, maka dia mendapat didikan secara langsung dan praktikal daripada suasana berkeluarga. Orang ini agak bernasib baik.
2. Dia yang lahir-lahir sahaja Allah telah bekalkan kesedaran dan petunjuk. Dari kecil lagi sudah suka kepada kebaikan dan kebenaran. Dia terus mencari dan mengamalkan. Orang seperti ini amat sedikit. Ini adalah pemberian Allah secara wahbiah (secara anugerah).
3. Orang yang dalam perjalanan hidupnya terjumpa golongan atau kelompok yang beragama Islam dan mengamalkan syariat. Manakala dilihat kehidupan mereka begitu baik dan bahagia lantas mengikut golongan itu.
4. Orang yang sentiasa mencari-cari kebenaran, mereka sentiasa membaca, mengkaji, memperbandingkan serta melihat-lihat berbagai golongan dari berbagai-bagai agama dan ideologi serta bergaul dengan golongan-golongan itu maka akhirnya bertemu dengan kebenaran.
5. Orang yang mendapat pendidikan Islam, mendengar ceramah agama, ikut kursus agama, menghadiri majlis-majlis agama maka dia mendapat petunjuk dari mengaji dan mendengar itu.
6. Orang yang diuji Allah, mungkin selepas kaya jatuh miskin atau mendapat sakit teruk, atau ditimpa bencana alam dan lain-lain lagi maka di situ dia sedar dan insaf. Lantaran itu dia kembali mendekati diri kepada Allah SWT.
7. Orang yang mendapat kebenaran, kerana Allah mengizinkannya mengalami alam kerohanian seperti melihat di dalam mimpi alam Barzakh, melihat orang kena azab atau dia sendiri yang kena azab atau melihat gambaran Qiamat atau Allah perlihatkan kepadanya pokok sujud, pokok bertasbih danlain-lain kejadian yang ajaib. Selepas itu dia pun kembali kepada kebenaran.
8. Orang yang sedar setelah melihat ada golongan atau keluarga yang kehidupan dunianya begitu hebat, rumah besar, kaya raya, kenderaan yang mewah, harta banyak tetapi kehidupan keluarga itu sentiasa porak peranda, krisis sering berlaku, kasih sayang dan ukhwah tidak ada, masing-masing membawa haluan sendiri maka dari peristiwa itu dia sedar dan insaf bahawa kemewahan hidup tidak menjamin kebahagian di dunia apatah lagi di Akhirat kelak.
9. Orang yang dia sendiri mengalami kehidupan mewah, serba ada, apa hendak semua dapat, pangkat ada, duit banyak, namun kebahagiaan tidak dirasai, kehidupan keluarga porak-peranda lantas dia insaf dan sedar akhirnya mencari jalan kebenaran.
10. Orang yang dapat petunjuk kerana ada orang yang soleh atau orang yang bertaqwa mendoakannya, lantas doa itu dikabulkan oleh Allah, maka Islamlah dia sepertimana Sayidina Umar Al Khattab r.a. dapat petunjuk kerana doa Rasulullah SAW.
Apabila Allah Taala dengan Rahmat dan Kasih Sayangnya ingin menolong dan memenangkan hambaNya dalam berhadapan dengan musuh atau seterunya yang licik dan bersiasah, maka dilimpahkan hati tersebut dengan segala tentera Anwar iaitu Taufiq dan Hidayah. Bermula makna hidayah ialah petunjuk-petunjuk ke arah jalan yang benar, manakala Taufiq itu bermaksud kekuatan atau keupayaan untuk melakukan sesuatu. Dengan Nur Taufiq dan Hidayah inilah, segala Zulumah yang terdiri dari kejahilan, kejahatan, kerakusan nafsu dan tipu daya syaitan akan dapat diluputkan dari terus menggoncang pintu hati seorang hamba. Bila Zulumah ini dapat disingkirkan, maka berhiasilah hati atau jiwa tersebut dengan Ilmu Tauhid yang teguh.
Sesungguhnya sesuatu ketaatan dan amalan baik yang boleh membawa seseorang itu kepada Allah Taala adalah dengan wasitah(pengantara) limpahan kurnia Nur Taufik dan Hidayah. Tanpa Nur Taufiq dan Hidayah ini, tidak mungkin seorang hamba akan mampu dan berupaya untuk mengerjakan ketaatan dan kepatuhan kepada Allah Taala.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan