TAUBAT & TANDA2 PENERIMAANNYA


TAUBAT adalah keadaan apabila seseorang itu kembali taat kepada Allah SWT dan menyesal dengan bersungguh-sungguh terhadap dosa yang sudah dilakukan sama ada dosa besar mahupun dosa kecil. Tiada seorang antara kita mengetahui waktu bilakah nyawa kita akan diambil dan tidak ada seorang sekalipun mampu menjamin akan hidup sehingga tua walaupun sihat tubuh badan. Apabila sampai saatnya ajal..maka tidak Allah kurangkan atai lewatkan walaupun sesaat, pasti akan malaikat yang penuh ketaatan mencabut nyawa kita.

Tanda taubat yang sebenar itu adalah apabila seseorang itu tidak sesekali akan mengulangi perbuatan atau dosa yang sudah dilakukannya pada masa depan.
Firman Allah SWT:
“Jangan sekali-kali (mengatakan bahawa mereka dekat pada sisi Tuhan) bahkan hati mereka diselaputi dengan dosa-dosa yang mereka lakukan.” (Al Mutaffifin:14).

Seorang ahli hikmah pernah ditanya mengenai taubat; “Bagaimanakah kita hendak mengetahui taubat kita diterima Allah atau tidak? Jawabnya; “Ini adalah urusan Allah. Kita tidak berupaya menentukannya, tetapi kita boleh melihat padanya tanda-tanda, iaitu:

  • Seseorang itu berasa seperti dosanya masih banyak dan belum terhakis walaupun sering kali memohon keampunan kepada Allah SWT. 
  • Hatinya lebih tenteram dan suka mendekati orang-orang soleh daripada mendekati mereka yang fasik.
  • Sedih kerana mengenangkan azab Allah atas segala dosa yang pernah dilakukannya dulu.
  • Sentiasa sibuk dengan menunaikan kewajipan terhadap Allah dan sekalipun tidak khuatir dengan urusan hidup serta rezekinya yang sudah dijamin Allah SWT.
  • Sentiasa melihat rezeki yang diperoleh sangat banyak walaupun dalam pandangan mata manusia ia sangat sedikit. 
  • Sentiasa merasakan bahawa amal ibadatnya terlalu sedikit biarpun banyak waktu dihabiskan kepada Allah SWT. 
  • Menjaga lidah dan pertuturan, sering bertafakur dan selalu berada di dalam keadaan sedih dan menyesal. 
Jadi, sentiasalah kita bertaubat kepada Allah serta memohon keredaan-Nya kerana hanya Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan