Meluruskan Niat, Membetulkan Amal
 
Setiap apa yang kita buat sepanjang hidup di dunia ini tergantung pada niat kita. Kita jangan fikir solat, puasa, haji sahaja yang ada niat.
 
Semua perkara kita buat ada niat, kita kahwin untuk apa, pergi kerja untuk apa, pergi belajar untuk apa, 'ngeteh' 'ngopi' untuk apa, mesyuarat untuk apa, beli barang untuk apa. Semua perkara.

Setiap perkara yang kita buat itu kita boleh luruskan niat agar menepati kehendak Allah dan Rasul.
Sebagai contoh, kita di dalam kereta untuk pergi kerja. Sedang pegang stereng kereta itu, kita cetuskan dalam hati;

'Aku pergi kerja ini untuk apa?'

Luruskan niat;

'Aku pergi kerja ini untuk cari rezeki untuk anak isteri, untuk taat perintah Allah melaksanakan tanggungjawab sebagai suami.'
 
Keluar mahu 'ngeteh';

'Mahu jumpa orang ini untuk eratkan silaturahim. Allah dan Rasul minta jaga silaturahim.'

Beli hanfon baru;

'Supaya memudahkan urusan kerja untuk mencari rezeki.'

Walau apa pun niat kita, Allah akan lihat juga cara kita buat. Walaupun sebelum buat kita luruskan niat, tetapi perbuatan sebenarnya untuk memenuhi nafsu kita sahaja.
 
Maka Allah lebih tahu apa sebenarnya niat kita itu. Sebagai contoh, setiap kali pergi kerja kita luruskan niat. Tetapi apabila dapat gaji, kita beli barang di luar kemampuan, makan di restoran mahal, sehingga tengah bulan sudah kekurangan duit lalu minta anak isteri berjimat cermat makan pula di rumah. Allah lihat semuanya. Semua Allah tahu.

Diluruskan niat itu supaya sedar tujuan kita laksanakan kerja itu.
 
عَ
نْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " إِنَّ اللَّهَ لَا يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ، وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ ".

Daripada Abu Hurairah, beliau berkata, "Rasulullah Sollallahu 'Alayhi wa Sallam bersabda; "Sesungguhnya Allah tidak melihat pada rupa paras dan harta kamu. Tetapi Allah melihat pada hati dan amalan-amalan kamu." - Sahih Muslim
 
Luruskan niat, betulkan amal. Allah tahu...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan